SELEPAS menyingkirkan tiga pasukan Liga Super – Sabah, Johor FC dan Terengganu dalam laluan bergelar finalis Piala FA, Sime Darby FC mahu mengulanginya sekali lagi pada saingan Piala Malaysia bermula 22 Ogos ini.

Sime Darby FC yang meraih tempat ketiga Liga Perdana mudah membelasah T-Team 3-0 pada aksi persahabatan di padang latihan mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, malam kelmarin.

Ia sekali gus petanda mereka mampu menyaingi tiga pasukan Liga Super – Perak, Negeri Sembilan dan FELDA United pada aksi Kumpulan C bagi mencipta sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama.

“Nampak kesungguhan dan komitmen pemain cukup tinggi. Harap mereka kekalkan menjelang saingan sebenar nanti. Apa pun, ia memang memberi suntikan semangat buat pemain.

“Saya yakin kami tiada masalah lagi untuk berdepan mana-mana pasukan Liga Super. Insya-Allah kami boleh bersaing dengan Perak, Negeri Sembilan dan FELDA United,” kata jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada aksi itu, pemain tengah pinjaman dari Polis, Afif Amiruddin menjaringkan gol pertama Sime Darby FC pada babak pertama sebelum dua gol lagi ditambah oleh Razali Umar Kandasamy dan Irme Mat.

“Kehadiran dua pemain pinjaman iaitu Afif dan Ahmad Dashila Tajudin (Kuala Lumpur) tampak positif. Cuma penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh perlu mempertajamkan semula sentuhannya,” jelas Ismail. — Berita Harian




coded by nessus

Leave a Reply