JUARA Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tampil selaku pendahulu bersama Kumpulan B kempen Piala Malaysia.

Kejayaan itu hadir selepas ATM membenam Kedah 2-0 pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Beraksi di gelanggang lawan ternyata tidak menghalang skuad kendalian B Sathianathan itu untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Begitupun, Sathianathan tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat berpuas hati dengan kemenangan itu, sambil menganggap perjalanan pasukannya masih jauh.

Video Kedah 0-2 ATM

“Kejayaan mendapatkan tiga mata di Kedah amat melegakan saya. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan barisan pemain.

“Mereka menunjukkan komitmen yang begitu tinggi selepas baru sahaja menyambut Aidilfitri. Apa yang saya lihat, mereka memiliki stamina yang baik.

“Begitupun, terlalu awal untuk mengatakan ATM mampu melepasi peringkat kumpulan yang mana kami bukan pasukan pilihan,” jelas Sathianathan semalam.

Menurut Sathianathan lagi, dua lagi pencabar dalam Kumpulan B – Kelantan dan Terengganu masih dianggap sebagai pasukan pilihan.

“Atas kertas sudah membuktikan bahawa Terengganu dan Kelantan merupakan pasukan pilihan dalam Kumpulan B.

“Terengganu jelas menunjukkan kehebatan mereka selepas berjaya menewaskan Kelantan 2-0 di gelanggang sendiri semalam (kelmarin).

“Meskipun Kelantan tewas tetapi saya yakin mereka akan kembali bangkit dengan mempamerkan prestasi sebenar pada perlawanan akan datang.

“Mereka memiliki skuad yang mantap yang mana tahap keserasian mereka jelas berbeza berbanding kami yang hanya digilap dalam tempoh setahun,” katanya.

Ditanya mengenai pertemuan menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok, Sathianathan mengakui pasukannya perlu bekerja keras sekiranya berhasrat untuk mendapatkan tiga mata.

“Setiap pasukan mengidamkan tiga mata tetapi kami perlu bekerja lebih keras untuk meraih kemenangan ke atas Terengganu.

“Saya berharap beraksi di laman sendiri akan memberikan tuah kepada ATM untuk terus mencipta kemenangan kedua,” katanya. — Kosmo

Fixtures

No more matches scheduled.



coded by nessus

Leave a Reply