PEMAIN import Kelantan, Mohammad Ghaddar terselamat daripada dikenakan hukuman yang lebih berat apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya mengenakan penggantungan satu perlawanan dan denda sebanyak RM2,000.

Menurut pengerusinya, Datuk Taufik Abdul Razak, pemain yang berasal dari Lebanon itu didapati bersalah di bawah Kod 2.4 Tataetika FAM 2012 kerana tidak mempunyai semangat kesukanan apabila mengasari pemain lawan, Bunyamin Omar pada perlawanan Kelantan berdepan Selangor dalam satu perlawanan Liga Super pada 29 Jun lalu.

“Ghaddar telah hadir pada perbicaraan ini dan mengaku tidak bersalah dalam sesi bela diri tetapi pandangan ahli jawatankuasa berpendapat memang ada kesalahan yang dilakukan dalam kes ini.

“Daripada apa dilihat dalam tayangan video, Ghaddar sengaja memulakan sentuhan fizikal dengan menggunakan tangan untuk memukul bahagian tepi kiri pemain Selangor (Bunyamin Omar).

“Setelah berbincang secara mendalam, kami memutuskan Ghaddar akan digantung satu perlawanan dan didenda sebanyak RM 2,000 serta diberi amaran keras agar insiden ini tidak berulang lagi, ” katanya di Wisma FAM, hari ini. – UTUSAN




coded by nessus

Leave a Reply