pahang juara piala malaysia 2013 : pahang 1-0 kelantan final

Tiada sebarang perkataan yang dapat dizahirkan oleh pemain terbaik perlawanan akhir, Mohd. Azamuddin Akil selain menganggap ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila dapat membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia tahun ini.

Sepanjang bergelar pemain Pahang, anak watan Kuala Lipis ini tidak menyangka aksi pertamanya dalam perlawanan akhir membawa tuah bagi menghadiahkan kejayaan bermakna kepada Tok Gajah.

”Saya tidak tahu hendak cakap apa, sepanjang lapan tahun saya bermain bola sepak bersama Pahang, inilah kejayaan paling manis saya pernah kecapi.

”Macam mimpi menjadi kenyataan dan saya semalam tidak boleh tidur malam memikirkan perlawanan akhir ini, saya benar-benar rasa gembira kerana kami telah menang.

”Paling membanggakan, ini adalah hadiah paling bermakna kepada Pahang dan hadiah ini saya tujukan kepada seluruh penyokong Pahang yang sentiasa tidak berbelah bahagi memberikan sokongan,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Azamuddin atau lebih dikenali sebagai Alex menjadi perancang utama kepada gol kemenangan Pahang yang dijaringkan oleh penyerang import dari Argentina, Matias Conti pada minit ke-58.

Dalam masa sama, Alex membayangkan akan terus berbakti kepada Pahang dan masih belum puas dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia.

”Kontrak saya memang berakhir pada November ini dan masih belum bincang mengenai kontrak bersama Pahang untuk musim depan.

”Memang saya ada terima banyak tawaran dari pasukan lain dan saya akan perhalusi banyak perkara sebelum membuat keputusan.

”Cuma hati saya berat mengatakan mahu kekal lagi bersama Pahang dan ingin terus berbakti kepada negeri kelahiran saya,” katanya.

— Utusan




coded by nessus

Leave a Reply